Layakkah kita terima ucapan Hari Guru bila….

Minggu ni berpeluang menekuni buku ‘Begini Seharusnya Menjadi Guru’ karya Fu’ad Abdul Aziz asy-Syalhub; yang mana beliau sendiri banyak menulis buku tentang adab & akhlak.

Bila baca buku ni,

Rasa belum layak dan tak qualify langsung nak dipanggil guru 🥺. Setiap perkataan adalah muhasabah. Karakter guru sejati, sukar wujud pada zaman sekarang.

Saya rasa ilmu tentang karakter guru yang seharusnya ini, perlu sentiasa disuburkan dalam kalangan guru-guru supaya pembentukan karakter unggul ini akan berlaku secara berterusan.

Sebab akhirnya; ia bukan saja baik untuk diri kita, tapi kepada anak-anak murid kita dan seterusnya kepada ruang lingkup yang lebih besar; masyarakat dan ketamadunan kita!

Antara yang dikupas dalam karakter yang sepatutnya ada pada seorang guru ialah;

1. Ikhlas deliver ilmu kerana Allah

Ikhlas! Tak mudah kan.

Tapi dalam buku ni kupas, ramai pemilik ilmu di hari pembalasan nanti amalannya hilang bersama hembusan angin bagaikan debu berterbangan.

Kebanyakan kita merasa selesa dengan panggilan guru dan merasa mulia dengannya, tapi jika kita tidak ikhlas dan tak memanfaatkannya ke jalan Allah, maka ia tak bermakna di sisi Allah. Lebih-lebih lagi kalau ilmu yang kita beri itu hanya semata-mata untuk sanjungan dunia.

Bahagian memanfaatkan di jalan Allah, begitu beri kesan pada jiwa saya kerana sistem pendidikan kita telah mula dirangka sejak zaman berzaman di tangan penjajah yang sekular dan kita terbiasa dengannya.

Agak perit untuk menerimanya; Kita kadangkala leka dan lupa bahawa perkara yang kita ajari pada anak murid adalah perkara-perkara yang mengundang murka Allah. Bila difikirkan adakah masa yang guru habiskan melatih anak murid untuk berhibur dan bergelek di pentas contohnya seperti menari, bergelek untuk Hari Anugerah , dan pelbagai lagi yang berkaitan – ada nilainya kah di sisi Allah?  Adakah aktiviti-aktiviti ini menambah rasa cinta kita dan anak didik kita kepada ar-Rabb? Saya tinggalkan persoalan ini untuk kita semua muhasabah.

2. Jujur.

Syeikh Fuad ada mengatakan bahawa sifat jujur adalah mahkota bagi seorang guru. Jujur adalah kunci keselamatan di dunia & akhirat bagi orang mukmin. Allah juga memotivasikan orang-orang Mukmin supaya bersikap jujur seperti dalam surah at-Taubah:119.

Rasulullah contoh guru yang amat jujur sehingga kejujurannya itu diakui oleh kawan dan lawan, hanya sahaja orang kafir Quraisy menolak dakwah Rasulullah kerana keegoan dan ketakutan mereka akan kehilangan kedudukan dan kuasa apabila menerima Islam.

Jujur amat perlu bagi seorang guru kerana kata penulis ini; guru yang tidak jujur ini akan deliver ilmu yang serba kurang dan tidak ilmiah serta hilang mahkota kepercayaan dari muridnya.

Pernah Syeikh Muhammad bin Jamil Zamlu bercerita,

Satu hari ada seorang murid mengadu kepada gurunya tentang seorang guru lain yang merokok. Tapi guru itu telah membela rakannya dengan mengatakan bahawa doktor yang menyuruhnya merokok sebagai rawatan. Murid-murid tahu dan faham bahawa guru mereka sedang tidak jujur memberi alasan.

Dalam hal ini, kedua-dua guru ini telah kehilangan mahkota kepercayaan daripada anak murid. Boleh saja sebenarnya guru tersebut beri alasan bahawa rakannya itu juga manusia biasa yang berbuat kesalahan. Dan memberi harapan kepada murid untuk bantu menegur guru tersebut.

Macam biasakan kita dengar tentang kes guru merokok di sekolah ni? Jika benar seorang guru menghayati karakternya sebagai contoh terbaik kepada anak murid, maka perkara ini tak mungkin berlaku. Lebih menyedihkan bila ada saja guru-guru yang terang-terangan merokok di hadapan murid.

3. Serasi antara perbuatan & percakapan / berakhlak terpuji

Selalu dengar kan, guru-guru yang marah murid apabila murid-murid bercakap semasa guru mengajar. Malangnya ada sesetengah guru memang cakap tak serupa bikin, bila merekalah orang yang paling bising di tapak perhimpunan apabila guru besar berucap; dan ia disaksikan oleh anak-anak murid! Iya, tak ramai tapi ada.

Allah melarang dengan amat keras tentang perbuatan ini dalam surah As-Saff:3. Imam al-Ghazali juga mengatakan perbuatan sebegini akan menghalang hidayah untuk sampai kepadanya.

Ia begitu mempengaruhi anak-anak murid kita. Kata penulis, akhlak guru yang baik mampu memberikan pengaruh di jiwa. Kerana akhlak yang baik adalah sifat yang bekerja seperti sihir dalam memikat hati, menarik jiwa dan menebar rasa cinta dalam masyarakat.

Dan kata penulis, guru adalah orang yang paling utama dalam hal ini.

Allahu.

Cukuplah 3 perkongsian karakter untuk sharing saya pada hari ini. Sejujurnya rasa belum layak menjadi guru apatah lagi untuk menerima ucapan hari guru pada hari ini.

Saya mendoakan agar semua guru-guru di Malaysia ini, terutamanya diri saya sendiri agar sentiasa dalam bimbingan Allah yang Maha Pengasih, diberi kekuatan dan petunjuk dalam usaha kita mendidik anak bangsa kita.

Kerana di akhirnya,

Hidup kita ini akan kembali kepada Allah yang Maha Penyayang. Perlu selalu kita refresh diri, bahawa tujuan kita diciptakan sebagai khalifah di bumi adalah untuk tunduk patuh kepada Allah dan membawa jiwa-jiwa kembali kepada ar-Rabb.

Maaf jika penulisan saya ini mengguris hati rakan-rakan guru yang lain. Hidup ini bermakna jika saling mengingatkan. Tidaklah dengan perkongsian ini, menjadikan saya ini lebih baik dari guru-guru yang lain.

Apapun cikgu-cikgu,terima kasih atas segala pengorbanan jiwa dan raga dalam memaknai perjuangan di bidang pendidikan ini. Semoga kerjaya kita ini, Menjadi sejadah untuk kita menggandakan ibadah!

Selamat Hari Guru! Berguru demi ilmu, Bina generasi baharu ❤️

Ikhlas,

Hazwani Mohd Dah,

Penulis buku Cikgu, Saya Suka Pergi Sekolah

.

Adakah anda rasa penulisan ini bermanfaat? Mohon kongsikannya.

Tags:
error

Anda rasa perkongsian ini bermanfaat? Mohon kongsikannya, ya!

  • Facebook465
  • Follow by Email
  • RSS465